Wednesday, December 5, 2007

Sindiket dadah 'peralat' wanita

Berita Harian - 05/12/2007

Oleh Khairul Anuar Abdul Samad

KOTA BHARU: Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Ismail Omar mengakui memang wujud sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang mengeksploitasi rakyat negara ini, terutama wanita.

Beliau berkata, sindiket berkenaan dikesan beroperasi dengan berselindung di sebalik aktiviti lain dan menggunakan rakyat negara ini sebagai ‘alat' untuk mengedar dadah bagi pihak mereka.

Anggota sindiket terbabit menggunakan pelbagai helah dan taktik, termasuk tawaran kerja dengan gaji lumayan untuk memerangkap mangsa, katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini, semalam. Beliau berada di Kelantan untuk lawatan kerja selama dua hari bermula kelmarin.

“Kita minta rakyat negara ini berhati-hati dan lebih berwaspada,” katanya ketika mengulas kes seorang wanita rakyat Malaysia yang dijatuhi hukuman mati di China kerana menyeludup heroin.

Umi Azlim Mohamad Lazim, 24, yang berasal dari Pasir Puteh dekat sini dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Undang-undang Jenayah Guangzhou pada 15 Mei lalu atas kesalahan menyeludup 2,983 gram heroin.

Umi Azlim diberi tempoh dua tahun dari tarikh dijatuhi hukuman itu untuk membuat rayuan. Berhubung kes itu, Ismail berkata, pihaknya akan menghubungi Kerajaan China untuk mendapat maklumat terperinci mengenainya.

“Kita akan hubungi Kerajaan China untuk siasatan lanjut. Kita hormati undang-undang negara luar, semua perlu dilakukan mengikut prosedur. Dalam kes ini, ia masih boleh buat rayuan, kita cuba sedaya upaya untuk membantu,” katanya.

Sebelum ini negara ini dikejutkan berita seorang rakyat Malaysia, Raja Munirah Raja Iskandar, 22, yang ditahan di Pusat Tahanan Kosuke, Tokyo juga atas tuduhan menyeludup dadah.

Berdasarkan statistik polis, pada tahun ini saja, sebanyak 30 kes membabitkan wanita Malaysia ditahan di luar negara kerana terbabit dalam menyeludup masuk dadah ke negara terbabit. Mengulas lanjut, Ismail berkata, masyarakat jangan mudah terpedaya dan selidik dulu latar belakang orang yang baru dikenali apatah lagi jika ditawarkan untuk melakukan sesuatu pekerjaan dengan upah yang lumayan.

0 Comments:

Post a Comment