Thursday, December 6, 2007

Sukar bantu kes dadah di luar negara

Berita Harian - 06/12/2007

KERAJAAN sukar membantu rakyat Malaysia yang ditahan pihak berkuasa negara asing atas kesalahan mengedar dadah, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, sama seperti Malaysia yang tidak mahu rakyat asing mengedar dadah di sini, negara lain juga berhak terhadap undang-undang berkaitan dadah di negara masing-masing.

“Kita ada undang-undang (berkaitan dadah) yang sama berat dengan negara lain dan ada risiko hukuman mati.

“Justeru, sukar untuk berbuat apa-apa kecuali meminta supaya memastikan rakyat kita mendapat perbicaraan mengikut prinsip keadilan,” katanya kepada pemberita selepas melawat segmen maritim pada Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2007 di sini, semalam.

Beliau berkata, setiap rakyat negara ini perlu mengetahui undang-undang mengenai dadah dan memastikan tidak terbabit bagi mengelakkan sebarang masalah.

Najib diminta mengulas laporan akhbar berkaitan dua wanita rakyat Malaysia yang masing-masing ditahan pihak berkuasa Jepun dan China kerana kesalahan mengedar dadah.

Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman pula sebelum ini mendedahkan ada 30 kes wanita tempatan diperdaya ejen sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang ditahan di beberapa negara asing.

Selasa lalu, akhbar melaporkan seorang wanita dari Pasir Puteh, Kelantan, Umi Azlim Mohamad Lazim, 24, ditahan di China atas tuduhan membawa masuk heroin ke republik itu, 19 Januari lalu dan dijatuhi hukuman mati.

Seorang lagi, Raja Munirah Raja Iskandar, 22, kini menjalani hukuman penjara tujuh tahun sebulan di penjara Jepun kerana kesalahan sama.

dan akan membuat rayuan ke Mahkamah Agung selepas Mahkamah Tinggi negara itu kelmarin menolak rayuannya. Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak akan menyediakan bantuan undang-undang kepada mereka yang ditahan di luar negara, sebaliknya ia hanya dilakukan atas dasar individu.

Mengenai laporan wanita terbabit diperdaya untuk menjadi ejen pengedar dadah, Najib berkata, isu utama ialah sama ada mereka tahu atau sebaliknya bahawa mereka terbabit dengan sindiket dadah.

Beliau berkata, jika benar rakyat tempatan itu diperdaya, mungkin mahkamah boleh menimbangkan perkara berkenaan.

Mengenai pembabitan pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang terbabit dalam kes itu, beliau berkata: “Tidak kira siapa (yang terbabit), jika dia membuat sesuatu dia kena terima akibatnya.”

0 Comments:

Post a Comment