Tuesday, December 4, 2007

Mahkamah Jepun tolak rayuan Raja Munirah

mSTAR Online - 04/12/2007

KUALA LUMPUR: Sebuah Mahkamah Tinggi di Jepun hari ini menolak rayuan pelajar Malaysia Raja Munirah Raja Iskandar bagi mengetepikan sabitan kesalahan dan hukuman penjara tujuh tahun empat bulan kerana cuba membawa masuk 690 gram syabu di Lapangan Terbang Antarabangsa di Tokyo tahun lepas.

Peguamnya Rosal Azimin Ahmad, ketika dihubungi berkata, mahkamah bagaimanapun mengurangkan hukuman penjara Raja Munirah selama 100 hari, yang bermakna dia akan dipenjara selama tujuh tahun sebulan.

Rosal Azimin berkata mahkamah tidak menerima keterangan laporan forensik siber, iaitu laporan data SMS, bagi mengetepikan semua mesej SMS antara Raja Munirah dan lelaki Iran bernama Milad, yang didakwa oleh Raja Munirah sebagai orang yang menganiayainya.

Katanya mahkamah mendapati keterangan menerusi laporan forensik siber itu tidak mencukupi selain meragui kesahihan laporan data SMS itu.

Rosal Azimin berkata beliau bersama sekumpulan peguam Jepun akan merayu kepada Mahkamah Agung dalam masa 10 hari ini.

Raja Munirah, 22, pelajar bidang sebaran am di sebuah kolej swasta di Malaysia, telah mengaku bersalah terhadap tuduhan itu pada 20 Dis tahun lepas.

Dia mendakwa diperdaya oleh Milad untuk membawa beg melepasi pusat pemeriksaan kastam tanpa mengetahui kandungannya.

Dia kini berada di pusat tahanan Kosuge di Tokyo.

Bapanya, Raja Iskandar Shah Raja Abdul Aziz, 48, berkata beliau pasrah dengan keputusan mahkamah itu namun berharap tempoh untuk membuat rayuan ke Mahkamah Agung dilanjutkan bagi membolehkan pihaknya mengumpul bukti yang lengkap supaya ia tidak dipersoalkan lagi kelak.

"Saya difahamkan banyak bukti yang dikemuka sebelum ini dipertikaikan oleh mahkamah, jadi kali ini kami akan berusaha untuk mengumpul bukti yang lebih kukuh," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Raja Iskandar Shah juga berharap supaya Polis Diraja Malaysia atau Interpol turut membantunya dalam usaha mengumpul bahan bukti bagi membolehkan anak gadisnya itu dibebaskan.

Beliau turut meminta jasa baik manamana kementerian berkaitan yang prihatin dengan nasib keluarganya untuk samasama campur tangan bagi memudahkan proses rayuan itu.

"Sebelum ini saya hanya dapat sokongan dan bantuan daripada saudara mara serta rakanrakan. Belum ada kementerian terbabit ataupun pihak berkuasa tempatan yang tampil untuk menghulurkan bantuan," katanya.

0 Comments:

Post a Comment