Tuesday, December 4, 2007

Mahkamah Jepun tolak rayuan Raja Munirah

Utusan Malaysia - 04/12/2007

KUALA LUMPUR 4 Dis. – Rayuan pelajar Malaysia, Raja Munirah Raja Iskandar untuk mengetepikan hukuman penjara tujuh tahun empat bulan kerana cuba membawa masuk 690 gram dadah jenis syabu di Lapangan Terbang Antarabangsa di Tokyo tahun lepas ditolak oleh Mahkamah Tinggi di Jepun hari ini.

Mahkamah yang sama bagaimanapun mengurangkan hukuman penjara Raja Munirah, 22, selama 100 hari dengan memendekkan tempoh hukuman kepada tujuh tahun sebulan.

Peguamnya, Rosal Azimin Ahmad semasa dihubungi berkata, keputusan itu dibuat selepas mahkamah menolak keterangan laporan digital forensik iaitu data-data khidmat sistem pesanan ringkas (SMS) yang dikemukakan bagi mengetepikan semua SMS antara Raja Munirah dan lelaki Iran bernama Milad.

‘‘Mahkamah Tinggi itu mendapati keterangan menerusi laporan digital forensik tersebut tidak mencukupi selain meragui kesahihan laporan data-data SMS tersebut.

‘‘Bagaimanapun kita diberi peluang merayu ke Mahkamah Agung Jepun dalam tempoh 10 hari mulai hari ini. Notis rayuan akan difailkan pada 10 atau 11 Disember ini,''katanya.

Menurut Rosal Azimin, beliau tidak terkejut dengan keputusan itu kerana telah sedia maklum bahawa peluang untuk mengetepikan hukuman pada peringkat Mahkamah Tinggi di Jepun agak tipis.

Katanya, perkara itu juga telah dimaklumkan kepada Raja Munirah serta ahli keluarganya bagi memastikan mereka tidak menaruh harapan serta terlalu kecewa sekiranya rayuan ditolak.

‘‘Kami menaruh harapan yang tinggi untuk rayuan di Mahkamah Agung kelak. Peluang untuk Raja Munirah dibebaskan di sana lebih tinggi.

‘‘Kami harap semuanya akan berjalan lancar kelak dan mudah-mudahan Raja Munirah dapat kembali ke tanah air secepat mungkin,''ujar beliau.

Tambah Rosal Azimin, Raja Munirah diwakili oleh dua peguam dari Jepun yang dikenali sebagai Nishiguchi dan Sato pada prosiding hari ini.

Sementara bagi prosiding di Mahkamah Agung kelak, Raja Munirah akan diwakili tiga peguam termasuk dua peguam yang mewakilinya hari ini.

Sebelum ini, prosiding rayuan Raja Munirah di Mahkamah Tinggi di Tokyo ditangguhkan sehingga hari ini selepas syarikat telekomunikasi Celcom di sini meminta tujuh hari tambahan untuk mendapatkan semula rekod data SMS dan panggilan masuk telefon bimbit pelajar itu.

Raja Munirah dihukum penjara tujuh tahun empat bulan oleh mahkamah di Jepun selepas mengaku bersalah cuba menyeludup beberapa peket syabu ke negara itu pada 20 Disember 2006 di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Tokyo.

Pelajar jurusan sebaran am di sebuah kolej swasta itu bagaimanapun mendakwa dia diperdaya oleh seorang lelaki Iran yang memintanya membawa sebuah beg melalui pemeriksaan kastam tanpa mengetahui isinya.

Dakwanya, pemergiannya ke sana adalah untuk bekerja sebagai pegawai perhubungan awam (PRO) dengan sebuah syarikat korporat di Jepun.

Dia kini berada di pusat tahanan Kosuge di Tokyo.

0 Comments:

Post a Comment